Tuesday, March 31, 2009

Letak Jawatan


Sebenarnya memang banyak modal kalau nak tulis darihal politik di Malaysia, tetapi lama aku cuba menahannya, hinggalah benteng penahan pecah dalam posting lepas.

Dan kali ni limpahan masih berlaku sebab aku nak menulis lagi kisah politik, sebab tertarik dengan penjelasan Datuk Shahris Samad di tv tadi, yang dia akan menghantar surat letak jawatan Menteri PDN & HEP esok.

Langkah beliau meletak jawatan hanya kerna gagal masuk dalam senarai pemenang AMT sesuatu yang baru aku dengar. Justeru, perasaan pelik, lucu, poyo, curiga, sinis berbaur dalam kepala aku tatkala cuba mentafsir langkah datuk berambut putih ini.

Pelik kerana belum pernah berlaku. Beliau bukan kalah pilihanraya, hanya kalah jawatan dalam parti.

Poyo kerana beliau seakan mahu menunjukkan beliau orang penting, yang dilepas pandang oleh beribu pengundi minggu lepas.

Lucu kerana beliau seakan kanak-kanak kecil menangis merajuk bila permainan idaman tak dibelikan oleh ibu bapanya.

Curiga kerana mungkin beliau dah terasa kedudukan tempat duduk dia dalam gang bas sekolah yang dipandu Najib mungkin diambil orang.

Sinis kerana beliau mungkin menyindir Ali Rustam yang tak reti melepas jawatan selepas bersalah menwangkan politiknya.


Yang mana satu betul, tak tahulah.
Ikut kata dia tadi, dia nak balik JB berkhidmat untuk para pengundinya. Dia ada banyak projek nak buat. Selepas masuk kabinet daripada rehat panjang, mungkin beliau tak dapat imbangi tugas menteri dengan tugas MPnya...


Sunday, March 29, 2009

Umpama Makan Nasi Orang

Hero

SATU

Mula-mula Pija,
lepas tu Fiq,
kemudian giliran Stacy,
dan kini, tiba Shafie Apdal dan Rosnah Shirlin.

Siapa kata orang Sabah hanya berpeluang menang pertandingan realiti TV saja?


DUA

Diberi, salah; Tak diberi, kalah.

Itu antara kata-kata Datuk Seri Najib yang paling aku ingat dalam ucapan beliau sabtu lalu. Yang lain-lain sudah kelam-kelam dalam ingatan; mungkin satu lagi yang masih agak terang adalah bagaimana dia menjelaskan semua orang-orang kanan yang naik takhta kali ini adalah orang-orang yang dah lama rapat dengan beliau. Pasukan mantap lah kali ni...

Berbalik kepada slogan yang diatas, aku harap ia bukanlah aqidah kekal orang-orang yang berkumpul di Dewan Merdeka minggu lepas. Saya tidak ada kena mengena kalaupun mereka menganutinya, tetapi sebagai orang Melayu Islam, saya percaya saudara-saudari percaya ia salah.


TIGA

Pasukan mantap diuji terus dengan trio PRK minggu depan. Tan Sri Muhyidin sudah dilantik oleh Presiden baru mengepalai kempen BN. Meski pun beban digalas oleh Tan Sri, saya percaya ramai lebih berminat menilainya dari perspektif peranan Presiden. Selepas gagal di dua PRK, ramai tertunggu-tunggu apakah impak bawaan beliau sebaik naik semata anak tangga ke puncak kuasa. Gagal ketika Timbalan Presiden, apakah beliau berjaya selepas memakai jenama "Presiden"?


EMPAT

Che Det dalam blognya mengkritik kemenangan KJ sebagai Ketua Pemuda. Normallah, sebab yang tewas anak beliau. Para 4 hingga 10 dalam blog menghuraikan perasaan sebenar beliau. Tetapi saya agak terperanjat apabila beliau hadir Sabtu lalu di PWTC dan kemudiannya menyatakan kesediaan kembali, malah bekerja sama dengan sasarannya sebelum ini demi untuk kebaikan parti. Mungkin pada masa sama, Che Det nak memberi pendidikan kepada "orang yang dikenali dan diakui umum sebagai perasuah" tersebut.




OK tak kalau aku menjadi penulis blog politik? Boleh lawan Rockybru?

Saturday, March 28, 2009

Earth Hour


Mari bergelap selama sejam!

Aku pun kabur dengan bergelap yang disebutkan. Apakah gelap total atau sekadar mematikan lampu tapi masih boleh bersuluh dengan cahaya dari kaca TV atau lilin?

atau sebenarnya Earth Hour mempromosi kegelapan total?

Secara peribadi aku lebih suka gelap yang masih diterangi cahaya TV. Maklumlah, malam masih muda, lainlah Earth Hour dipromosi pada pukul 12 tengah malam. Kebetulan malam ni takda EPL hahaha!.

Apa alternatif nak dibuat ketika gelap?
Berzikir? Bagus juga, kegelapan menambah kekhusyukan. Tapi belum tentu suasananya tenteram kerana anak jiran sebelah mungkin masih bising-bising.

Jalan-jalan keliling tanjungaru memantau kegelapan? Suatu bentuk pembaziran yang kontra dengan jiwa murni Earth Hour.

Atau pergi skodeng aktiviti-aktiviti gelap? Hmmm..mungkin malam masih muda jadi belum banyak aktiviti gelap berlangsung.

Berapa ramai orang Malaysia sanggup menyahut seruan ni?
Kempen ni tiada konsert penyanyi popular, atau band indie, apa lagi artis luar negeri. jadi aku pun tak dapat menelah persepsi rakyat jelata.
Tapi yang lebih penting, sejauh mana nilai kesedaran disebalik kempen tersebut disedari oleh masyarakat? Atau masyarakat kita akan terus gelap dan kekal bersikap "jual ikan".

Wednesday, March 25, 2009

Miskin kepada murtad


Kemiskinan boleh membawa kekufuran

Itu adalah peringatan yang pernah kita dengar. Tetapi kemiskinan yang dilalui oleh keluarga dari Kuantan ini (laporan UM harini) melangkaui batas kekufuran kerana mereka telah selangkah maju, - menuju kemurtadan.

Tak susah untuk membayangkan kesusahan mereka. Imbas semula mana-mana episod "Bersamamu" yang pernah kita tonton. Mungkin semiskin keluarga Maini Kudat di Sarawak yang berlaukkan siput babi bakar untuk isi perut. Keluarga di Kuantan ni dah tentu lebih terdesak kerana ada sembilan anak, dan hidup di bandar yang sudah tentu serba mahal. Bayangkan, mereka sudahpun dibantu dengan menerima penempatan di PPRT Bandar Baru, tetapi rumah bantuan itu pun masih belum mampu membantu mereka untuk hidup lebih selesa.

Disebalik "inovasi" natijah kemiskinan yang dipelopori mereka, ada beberapa lagi kebusukan yang mereka telah dedahkan. Pertama, kepercayaan biar miskin harta, jangan miskin anak tidak selalunya betul. Kedua, dan mungkin yang paling menekan mereka adalah kutukan masyarakat. Tak sangka pula masih ada orang di Kuantan yang minda mereka masih zaman awal merdeka dulu memandang rendah pada orang miskin.

Ketiga yang tidak kurang penting adalah MUIP sendiri. Baca saranan Timbalan Yang dipertua MUIP tersebut. "Datang ke pejabat MUIP, isi borang dan senaraikan jenis bantuan yang diperlukan dan kita akan pertimbangkan". Nampaknya MUIP sudah jadi macam para YB dalam Bersamamu, bila rakyat sudah keluar TV, baru mereka muncul menawarkan seribu satu bantuan. Mereka tak mahu meninggalkan hawa dingin pejabat mereka untuk mencari rakyat dalam kesusahan. Mungkin mereka perlu menyelidik dan menginsafi, kenapa pasangan tersebut lebih nampak kepada paderi daripada anak tangga pejabat MUIP.

Surat khabar hari ini juga mendedahkan Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO telah berjaya menyelesaikan 120 kes penderitaan masyarakat. Rupanya, selain daripada membawak balik anak-anak perempuan Melayu yang merempat di negara asal suaminya, Datuk Abdul Azeez telah berjaya dalam banyak misi lain. Mungkin berkat terjun di kutub dulu bersama dengan mat rempit, Datuk Azeez telah dikurniakan akal dan ikhtiar yang panjang. Hanya mat rempit saja yang tak terkesan dengan terjunan di kutub tu.

Tapi sayang, Datuk Azeez tidak lebih awal menemui masalah keluaraga sebelas beranak di Kuantan ini. Jika tidak tentu keluarga tersebut tak akan sempat membuat surat akuan untuk keluar Islam.



Tuesday, March 24, 2009

Arab

Sinbad (kiri) bersama rakannya, Abu Nawas



Dalam berita TV3 semalam, Melaka akan membina Bandaraya Arab di bumi Hang Tuah tersebut. Tujuannya adalah untuk menarik pelancong Arab datang ke Melaka.

Menurut jurucakap pemaju projek, yang aku rasa adalah seorang Arab, orang Arab sangat cerewet kalau melancong, mereka mahukan suasana yang sama macam tanah air mereka apakala melancong. Ia termasuklah premis makanan dan berhibur serta membeli belah.

Secara peribadi, aku tak mahulah nak terus memanggil mereka tolol, walaupun mungkin ia gelaran yang sangat tepat untuk menggambarkan sikap sedemikian. Logik yang mudah sahaja; Kalau nak suasana serupa kampung halaman mereka, maka aku rasa baik duduk di negara sendiri. Apa guna nak melancong ke luar kalau mahukan suasana serupa halaman mereka?

Akan tetapi, bila dilihat projek tersebut bakal dibina di Melaka, maka tolol tersebut mungkin juga perlu dikongsikan untuk orang-orang berkenaan di bumi Hang Tuah tersebut. Mengapa tidak? Bukankah mereka juga yang men"datok"kan Shah Rukh Khan tak berapa lama dulu kerana sebab yang sama naifnya sepertimana mewajarkan Arab City di atas?
Tapi untuk berlaku adil, kita juga jangan lupa beberapa bahagian Bukit Bintang dah lama diArabkan. Jadi tak peliklah kalau penyakit bebal tersebut menular ke selatan.


Orang Asia Barat patut belajar dengan orang Asia Timur yang datang ke Malaysia. Kaum-kaum Asia Timur tersebut, yang gadis cilik terutamanya bukan saja tidak cerewet, malah bijak mengambil peluang sebaiknya menikamti kunjungan mereka ke Malaysia ni. Tak percaya, cubalah sekali-sekala tonton 999.

Sunday, March 22, 2009

Masa


Lain jam, sama waktu


"Bertangguh itu pencuri masa"

itu pepatah orang lama, dan pasti sudah sangat lama sejak kali pertama kita mendengarnya.
Ia pepatah yang lazim, ibaratnya kalau budak-budak menyelitkannya dalam karangan SPM mereka, ia tidaklah memberi nilai tambah yang BEDEBUMM... kepada karangannya.
(contoh pepatah yang BEDEBUMMM kena rujuk pada karam Singh Walia)

"kerja akan berkembang mengikut masa yang diperuntukkan"

Ini aku tak pasti, kategori pepatah atau tak patah. Besar mungkinnya ia aku jumpa antara baris-baris pesan bijak pandai yang kadang-kadang aku lintasi di mayapada siber. Penjelasannya adalah, meski kerja itu sangat sedikit hatta mampu diselesai dalam masa seminit; kalaulah kita memperuntukkan masa sejam untuk menyudahkanya, nescaya selepas sejam lah kerja itu siap.
Kenapa? Rujuk semula pepatah orang lama di atas.

Sesungguhnya dua ayat di atas sangat tinggi nilai kebenarannya. Aku tak akan pertikai.
Kerana aku telah melakukannya!



Aku : Tolonggggg!!! Kerja masih bertimbun, laptop dah lemas dijerut virus!!!

Aku (lagi): Tiga perkataan untuk meredakannya - Padan Muka Aku!

Saturday, March 21, 2009

Virus


Entah yang mana satu dosa aku hingga virus menyusup masuk ke dalam laptop, dan beberapa jam tadi menyekat akses aku ke blog ni.

tapi dengan pelan kecemasan yang sebenarnya tak berpelan, disahut dupdap dupdap kalut dalam perasaan aku, maka berjaya juga aku menanganinya..kalaulah ia bolehlah dikatakan berjaya.

Jangan terperanjat kalau tiba-tiba terus senyap, kelemasan dijerut oleh virus.