Thursday, April 30, 2009

Mat rempit

Mat rempit sedang beraksi - kategori trio


Logikkah membina litar lumba untuk mat rempit??

Kadang-kadang alasan dangkal ini diluahkan mereka untuk menjelaskan kenapa mereka merempit. Ada juga dulu mendakwa, walaupun ada litar, tapi caj mahal menyebabkan mereka turun kembali ke jalan raya.

Merempit, meski pun ia adalah satu perlumbaan, ia adalah genre yang asli dan berlainan dengan sukan bermotor lain. Gelaran rempit tersebut wujud atas sifat-sifatnya yang berlumba atas jalan raya ketika trafik sedang sibuk, diselangi aksi stunt, beramai-ramai tanpa had, alat keselamatan hanya topi keledar dan gadis-gadis murah sebagai penyeri.
Jadi, sifat dan keaslian rempit pasti akan hilang jika ia dah diadakan atas litar.

Ibarat muzik rock yang ada macam-macam rock, setiap satu dengan ciri masing-masing - ada yang bersekutu dengan setan, ada yang minum darah, yang menyalak-nyalak; maka demikianlah rempit, ia wujud atas sifatnya yang tersendiri. Mana mungkin mereka yang tekal akan dapat meninggalkannya sekali pun ada litar dibina?

Monday, April 27, 2009

Khas untuk suami


Inspirasi dan panduan untuk mereka yang berkenaan.

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

-
2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.


5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.


7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.


10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

Saturday, April 25, 2009

ZONE

Kempen terbaru anti merokok?


Kerajaan nak menambah zon larangan merokok daripada 20 kawasan sedia ada.

Yang sepatutnya, kerajaan patut menubuhkan zon khas merokok, kerana sudah tentulah kegiatan yang tidak membawak manfaat tersebut patut disekat semampunya. Kalau tak mampu disekat penagihnya daripada terus bertapuk dengan rokok, setidaknya mereka perlu disekat daripada meracun orang lain, membuat sampah dan mengacau ketenteraman udara.

Tetapi hari ini merokok sudah jadi perkara lazim di kalangan kita. Trend paling baru adalah lagi ramai orang perempuan merokok. Barangkali mereka bosan hanya dikait dengan kanser payu dara dan kanser ovari jadi mereka meneroka peluang kanser paru-paru pula.

Budak-budak sekolah sekarang pun tak janggal dengan merokok. Sekarang mereka berlatih sedari sekolah rendah lagi. Kalau zaman aku sekolah dulu, terjumpa budak sekolah menengah merokok, itu pun menyorok-nyorok. Sekarang, budak semuda sekolah rendah dah kamcing dengan produk tembakau ni. Yang sekolah menengah dah upgred kepada syabu dan pil khayal.

Tahun lepas, aku dalam bas nak balik ke kampung. Maklumlah, kapal dari Tanjungaru ke rumah belum ada. Basnya beraircond, tapi aircond rosak. Tak pelik, sebab perkhidmatan bas ke kampung aku beberapa tahun terkini memang bermasalah. Mujurlah pintunya masih boleh dibiarkan terbuka sepanjang jalan untuk mengelakkan bertambah dosa aku menyumpah syarikat bas. Tetapi klimaks kepada masalah bawaan bas tersebut apabila ada pula seorang pakcik berusia kategori emas merokok sewaktu bas tu mula meninggalkan stesen. Maka sumpahan aku untuk bas tersebut didedikasikan juga kepada pakcik tersebut.

Cerita lain, di satu kedai makan di daerah Tanjungaru ni, aku sedang sarapan. Masuk seorang lelaki gendut. Aku kenal dia. Ada buka kedai makan berhampiran hospital. Kenal dan ingat bukan semata-mata sebab di Tanjungaru ni kedai makan tak banyak, tetapi kenal dan ingat sebab kedai makannya mahal. Kenal dan ingat aku semakin ditambah dengan rasa sakit hati sebab ketika dia masuk kedai makan tersebut dengan rokok di tangan. Dan ketika dia sedang mencedok makanan, sebelah tangan menjepit rokok betul-betul dihala kepada makanan. Sudah tentulah tanpa sedar. Malah kalaupun habuk rokok jatuh ke dalam mee dan nasi goreng yang dihidang, dia takkan tahu. Tetapi sebagai pengusaha kedai makan, kalaupun kesedaran siviknya sudah pun jatuh tahap papa, sepatutnya dia telah lama sedar betapa tidak eloknya tabiat merokok tersebut dibawa ketika menjengah makanan yang sedang dijual.


Mungkin juga sikap buruk macam ni dah pakej yang dibawak oleh tabiat merokok.

Friday, April 24, 2009

Tazkirah Jumaat

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk
dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.


Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah - olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."


Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.


Wednesday, April 22, 2009

Blue Zone

Dalam Oprah lebih seminggu lalu, Dr. Oz dan seorang peneraju "Blue Zone" meneroka ke banyak tempat mencari rahsia kesihatan dan panjang umur beberapa komuniti. Antaranya termasuklah masyarakat pinggir tanah tinggi di Costa Rica dan penduduk Sardinia di Itali.

Namun yang lebih menarik adalah seorang doktor pakar bedah di Amerika sendiri. Berbanding dengan masyarakat di Costa Rica dan Sardinia yang kelihatan ketara panjang umur mereka dipupuk atas pengaruh pemakanan, doktor berusia akhir 80an tersebut mendedahkan aspek kestabilan emosi sebagai salah satu rahsia kesihatannya.

Meskipun dia belumlah melewati usia 100 tahun seperti komuniti lain, kebolehan beliau mengepalai operasi pembedahan pada usia tersebut tetap satu yang dikagumi. TDM pun, pada usia yang hampir sama sekadar menyibukkan diri dengan menulis blog, atau paling-paling turun padang berkempen untuk PRK.

Doktor tersebut sempat berpesan kepada tetamu Oprah hari tersebut "Accept people as who they are. Dont try to change them".

Aku rasa keikhlasan inilah yang menjadi kunci kepada kepanjangan usia dan kesihatannya. Sesuatu yang sangat sukar untuk aku, apatah lagu dalam zaman serba cantas mencantas hari ini.
Paling-paling pun walaupun mulut senyum suka, dalam hati ada juga mengutuk itu ini. Macam mana nak umur panjang?

Saturday, April 18, 2009

Melatah


Ibarat orang yang kepenatan selepas meloncat-loncat mengaksikan latahnya, sudah tentu dia akan mengeluh penat, marah-marah pada orang yang mencuit suis latahnya hingga dia terkinja-kinja tak ketahuan.


Jarang aku jumpa orang yang melatah over acting, paling-paling pun yang hanya termuntah keluar daripada lidahnya perkataan x-rated. Tapi aku pernah tau ada orang yang melatah sehingga beraksi terlampau.


Kenapa aku bercerita hal orang melatah kali ini?

Kerana ia merupakan gambaran serta merta yang terlintas di kepala aku sebaik membaca berita utama Mingguan Malaysia hari ini. Tetapi latah yang ini lebih besar skalanya kerana melibatkan keramaian yang besar-besar, duit yang beribu-ribu, janji yang manis-manis, kutuk yang bisa-bisa dan yang semaknanya.

Akan tetapi latah tersebut sebagaimana latah nenek-nenek tak membawa pulangan apa melainkan penat dan mungkin kemalu-maluan yang boleh dikover dengan karangan lisan seperenggan.

Apakah kini mereka sudah jumpa penawar mengawal latah mereka?

Thursday, April 16, 2009

Seribu Guna

Umum dah lama tahu, kelapa adalah pokok seribu guna.
Daripada pucuk sampai ke akar, semua boleh dimanfaatkan. Tapi lama jugak aku berfikir, belum jumpa apa kegunaan akar kelapa. Mesti ada juga manfaat akar, kalau tidak jolokan seribu guna tu mungkin terpaksa jadi sembilan ratus sembilan puluh sembilan saja.

Baru-baru ini, email daripada kawan aku menyebabkan aku rasa gelaran seribu guna tu sudah pun boleh dikongsi.
Rakan kongsi baru tu bukan tumbuhan, tapi babi aka khinzir.


Banyak kali kita mendengar dan baca kisah produk yang berasal daripada si gemuk pendek ni. Lama dulu, kasut dan barangan kulit. Makanan pun dah jadi cerita basi. Sosej dibentuk dalam kelongsong usus babi. Pernah juga tiba dalam peti email aku cerita bagaimana perfume yang kita guna kebanyakan haruman diekstrak menerusi rendaman dalam lemak babi.

Demikian banyak gunanya babi. Tu tak termasuk lagi untuk digantung di pintu pagar masjid dan rumah ketua kampung!

Maka tak hairanlah ternakan babi sesuatu yang berdaya maju dan menguntungkan. Lama dulu aku musykil, adakah orang bukan Islam di Malaysia ini sangat laparkan babi hingga ternakannya mencecah angka juta-juta.
Tapi kini aku sudah ada jawapannya; babi bukan sekadar untuk dihidang atas meja makan, babi sebenarnya boleh diguna dalam pelbagai rupa dan acara.

Maka persoalan untuk kita renungkan, berapa banyak pula unsur-unsur kebabian telah tanpa sedar berada dalam rumah kita?