Thursday, April 30, 2009

Mat rempit

Mat rempit sedang beraksi - kategori trio


Logikkah membina litar lumba untuk mat rempit??

Kadang-kadang alasan dangkal ini diluahkan mereka untuk menjelaskan kenapa mereka merempit. Ada juga dulu mendakwa, walaupun ada litar, tapi caj mahal menyebabkan mereka turun kembali ke jalan raya.

Merempit, meski pun ia adalah satu perlumbaan, ia adalah genre yang asli dan berlainan dengan sukan bermotor lain. Gelaran rempit tersebut wujud atas sifat-sifatnya yang berlumba atas jalan raya ketika trafik sedang sibuk, diselangi aksi stunt, beramai-ramai tanpa had, alat keselamatan hanya topi keledar dan gadis-gadis murah sebagai penyeri.
Jadi, sifat dan keaslian rempit pasti akan hilang jika ia dah diadakan atas litar.

Ibarat muzik rock yang ada macam-macam rock, setiap satu dengan ciri masing-masing - ada yang bersekutu dengan setan, ada yang minum darah, yang menyalak-nyalak; maka demikianlah rempit, ia wujud atas sifatnya yang tersendiri. Mana mungkin mereka yang tekal akan dapat meninggalkannya sekali pun ada litar dibina?

Monday, April 27, 2009

Khas untuk suami


Inspirasi dan panduan untuk mereka yang berkenaan.

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

-
2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.


5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.


7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.


10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

Saturday, April 25, 2009

ZONE

Kempen terbaru anti merokok?


Kerajaan nak menambah zon larangan merokok daripada 20 kawasan sedia ada.

Yang sepatutnya, kerajaan patut menubuhkan zon khas merokok, kerana sudah tentulah kegiatan yang tidak membawak manfaat tersebut patut disekat semampunya. Kalau tak mampu disekat penagihnya daripada terus bertapuk dengan rokok, setidaknya mereka perlu disekat daripada meracun orang lain, membuat sampah dan mengacau ketenteraman udara.

Tetapi hari ini merokok sudah jadi perkara lazim di kalangan kita. Trend paling baru adalah lagi ramai orang perempuan merokok. Barangkali mereka bosan hanya dikait dengan kanser payu dara dan kanser ovari jadi mereka meneroka peluang kanser paru-paru pula.

Budak-budak sekolah sekarang pun tak janggal dengan merokok. Sekarang mereka berlatih sedari sekolah rendah lagi. Kalau zaman aku sekolah dulu, terjumpa budak sekolah menengah merokok, itu pun menyorok-nyorok. Sekarang, budak semuda sekolah rendah dah kamcing dengan produk tembakau ni. Yang sekolah menengah dah upgred kepada syabu dan pil khayal.

Tahun lepas, aku dalam bas nak balik ke kampung. Maklumlah, kapal dari Tanjungaru ke rumah belum ada. Basnya beraircond, tapi aircond rosak. Tak pelik, sebab perkhidmatan bas ke kampung aku beberapa tahun terkini memang bermasalah. Mujurlah pintunya masih boleh dibiarkan terbuka sepanjang jalan untuk mengelakkan bertambah dosa aku menyumpah syarikat bas. Tetapi klimaks kepada masalah bawaan bas tersebut apabila ada pula seorang pakcik berusia kategori emas merokok sewaktu bas tu mula meninggalkan stesen. Maka sumpahan aku untuk bas tersebut didedikasikan juga kepada pakcik tersebut.

Cerita lain, di satu kedai makan di daerah Tanjungaru ni, aku sedang sarapan. Masuk seorang lelaki gendut. Aku kenal dia. Ada buka kedai makan berhampiran hospital. Kenal dan ingat bukan semata-mata sebab di Tanjungaru ni kedai makan tak banyak, tetapi kenal dan ingat sebab kedai makannya mahal. Kenal dan ingat aku semakin ditambah dengan rasa sakit hati sebab ketika dia masuk kedai makan tersebut dengan rokok di tangan. Dan ketika dia sedang mencedok makanan, sebelah tangan menjepit rokok betul-betul dihala kepada makanan. Sudah tentulah tanpa sedar. Malah kalaupun habuk rokok jatuh ke dalam mee dan nasi goreng yang dihidang, dia takkan tahu. Tetapi sebagai pengusaha kedai makan, kalaupun kesedaran siviknya sudah pun jatuh tahap papa, sepatutnya dia telah lama sedar betapa tidak eloknya tabiat merokok tersebut dibawa ketika menjengah makanan yang sedang dijual.


Mungkin juga sikap buruk macam ni dah pakej yang dibawak oleh tabiat merokok.

Friday, April 24, 2009

Tazkirah Jumaat

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk
dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.


Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah - olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."


Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.


Wednesday, April 22, 2009

Blue Zone

Dalam Oprah lebih seminggu lalu, Dr. Oz dan seorang peneraju "Blue Zone" meneroka ke banyak tempat mencari rahsia kesihatan dan panjang umur beberapa komuniti. Antaranya termasuklah masyarakat pinggir tanah tinggi di Costa Rica dan penduduk Sardinia di Itali.

Namun yang lebih menarik adalah seorang doktor pakar bedah di Amerika sendiri. Berbanding dengan masyarakat di Costa Rica dan Sardinia yang kelihatan ketara panjang umur mereka dipupuk atas pengaruh pemakanan, doktor berusia akhir 80an tersebut mendedahkan aspek kestabilan emosi sebagai salah satu rahsia kesihatannya.

Meskipun dia belumlah melewati usia 100 tahun seperti komuniti lain, kebolehan beliau mengepalai operasi pembedahan pada usia tersebut tetap satu yang dikagumi. TDM pun, pada usia yang hampir sama sekadar menyibukkan diri dengan menulis blog, atau paling-paling turun padang berkempen untuk PRK.

Doktor tersebut sempat berpesan kepada tetamu Oprah hari tersebut "Accept people as who they are. Dont try to change them".

Aku rasa keikhlasan inilah yang menjadi kunci kepada kepanjangan usia dan kesihatannya. Sesuatu yang sangat sukar untuk aku, apatah lagu dalam zaman serba cantas mencantas hari ini.
Paling-paling pun walaupun mulut senyum suka, dalam hati ada juga mengutuk itu ini. Macam mana nak umur panjang?

Saturday, April 18, 2009

Melatah


Ibarat orang yang kepenatan selepas meloncat-loncat mengaksikan latahnya, sudah tentu dia akan mengeluh penat, marah-marah pada orang yang mencuit suis latahnya hingga dia terkinja-kinja tak ketahuan.


Jarang aku jumpa orang yang melatah over acting, paling-paling pun yang hanya termuntah keluar daripada lidahnya perkataan x-rated. Tapi aku pernah tau ada orang yang melatah sehingga beraksi terlampau.


Kenapa aku bercerita hal orang melatah kali ini?

Kerana ia merupakan gambaran serta merta yang terlintas di kepala aku sebaik membaca berita utama Mingguan Malaysia hari ini. Tetapi latah yang ini lebih besar skalanya kerana melibatkan keramaian yang besar-besar, duit yang beribu-ribu, janji yang manis-manis, kutuk yang bisa-bisa dan yang semaknanya.

Akan tetapi latah tersebut sebagaimana latah nenek-nenek tak membawa pulangan apa melainkan penat dan mungkin kemalu-maluan yang boleh dikover dengan karangan lisan seperenggan.

Apakah kini mereka sudah jumpa penawar mengawal latah mereka?

Thursday, April 16, 2009

Seribu Guna

Umum dah lama tahu, kelapa adalah pokok seribu guna.
Daripada pucuk sampai ke akar, semua boleh dimanfaatkan. Tapi lama jugak aku berfikir, belum jumpa apa kegunaan akar kelapa. Mesti ada juga manfaat akar, kalau tidak jolokan seribu guna tu mungkin terpaksa jadi sembilan ratus sembilan puluh sembilan saja.

Baru-baru ini, email daripada kawan aku menyebabkan aku rasa gelaran seribu guna tu sudah pun boleh dikongsi.
Rakan kongsi baru tu bukan tumbuhan, tapi babi aka khinzir.


Banyak kali kita mendengar dan baca kisah produk yang berasal daripada si gemuk pendek ni. Lama dulu, kasut dan barangan kulit. Makanan pun dah jadi cerita basi. Sosej dibentuk dalam kelongsong usus babi. Pernah juga tiba dalam peti email aku cerita bagaimana perfume yang kita guna kebanyakan haruman diekstrak menerusi rendaman dalam lemak babi.

Demikian banyak gunanya babi. Tu tak termasuk lagi untuk digantung di pintu pagar masjid dan rumah ketua kampung!

Maka tak hairanlah ternakan babi sesuatu yang berdaya maju dan menguntungkan. Lama dulu aku musykil, adakah orang bukan Islam di Malaysia ini sangat laparkan babi hingga ternakannya mencecah angka juta-juta.
Tapi kini aku sudah ada jawapannya; babi bukan sekadar untuk dihidang atas meja makan, babi sebenarnya boleh diguna dalam pelbagai rupa dan acara.

Maka persoalan untuk kita renungkan, berapa banyak pula unsur-unsur kebabian telah tanpa sedar berada dalam rumah kita?

Monday, April 13, 2009

Tanda sebelum mati


Walaupun Tazkirah Jumaat aku yang terbaru menjelaskan tanda menghampiri mati, aku rasa sangat tidak senang hati apabila ada berlaku kemalangan jiwa, wartawan pergi bertanya kepada waris "ada tak mangsa menunjukkan perangai/tanda pelik sebelum beliau meninggal dunia?". Tambah-tambah bila ia kemudian disiar di kaca TV. Dan memang sepanjang pemerhatian aku, kecenderungan ni sudah semacam wajib bagi TV3 setiap kali melaporkan kematian. Tak tahulah stesen lain, sebab aku jarang menonton berita sumber lain.

Adakah semua orang akan menunjukkan tanda pelik?

Tapi aku rasa, wartawan tu lebih mendambakan jawapan semacam - oh, "tak macam biasa dia tak makan sarapan pagi tadi", atau "kebelakangan ni dia selalu cerita mau pergi jauh" atau "dia pergi beli kain putih di kedai" atau yang seumpamanya. - Jawapan yang ada unsur pelik dan mistik yang boleh memWOWkan pembaca.

Tapi adakah wartawan tu terfikir ia boleh menimbulkan kekhurafatan pada pemikiran orang yang masih hidup ni?
Dan lebih utama adakah dia memahami perasaan waris lebih daripada keghairahan dia mencari berita?

Saturday, April 11, 2009

Craziest fan

Kenapa orang suka untuk merusuh bila menonton perlawanan bola sepak?

Mungkin kerana merusuh jauh lebih menarik daripada perlawanan. Tambah-tambah kalau perlawanan bola sepak, liga Malaysia secara spesifiknya.
Walaupun jersi pasukan menarik, pemainnya macam Beckham - kawen artis dan selalu ditempel dalam majalah/surat kabar,
tetapi itu tak mampu menahan diri mereka dari mengejar keseronokan lain - merusuh.

Yang belum ada, peminat Malaysia yang buat aksi macam di bawah..

AWAS! Belum masanya untuk aksi ini

Tapi mungkin tak lama untuk kita berjumpa aksi semacam ni dalam gelanggang sukan negara kita. Beberapa bulan lepas dah ada sekumpulan orang yang sepakat untuk telanjang tanda protes kepada kerajaan negeri.

Walaupun ia tak jadi kenyataan dan bukan kerana sukan, tapi ia jelas menunjukkan keazaman rakyat Malaysia untuk aksi sedemikian dah ada. Hanya tunggu masa untuk jadi nyata.

Tungguuuuuuuuuu....

Friday, April 10, 2009

Tazkirah Jumaat


TANDA 100 HARI SEBELUM HARI MATI

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya
akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun
semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar
atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.

Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan
mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging
lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan
teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.
Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di
hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan
berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.
Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut
dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan
lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat.
Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang
terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri
dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah
mati.


TANDA 40 HARI

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita
akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita
akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.
Mak a Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat
persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti
kita sepanjang masa. Akan terjadi Malaikat Maut ini akan
memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka
yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.
Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk
mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan
dicabutnya.


TANDA 7 HARI

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan
musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara
tiba-tiba ianya berselera untuk makan.


TANDA 3 HARI

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita
iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka
berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi
banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan
memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi
orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat
dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu
dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.
Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan
sukar ditegakkan.


TANDA 1 HARI

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu
denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini
menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan
harinya.


TANDA AKHIR

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk
di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya
akan naik ke bahagian halkum.
Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam
diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita
kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang
akan mematikan pula.

Wednesday, April 8, 2009

RM400

RM400 saja..


Dalam Berita Harian semalam, seorang gadis membuat laporan polis selepas tak tahan diugut teman lelakinya jika tak memberi RM400. Modal ugutan adalah gambar bogel gadis tersebut yang beliau sendiri hantar menerusi MMS.

Perempuan tu memang malang. Tapi yang lebih jelas, dia tolol.
Tolol kerana mudah memberi gambar bogelnya kepada kawan yang baru dikenali bulan September lepas.
Tolol kerana harga cintanya kepada teman lelaki semudah gambar bogel saja.
Tolol kerana zaman teknologi semakin mesra pengguna hari ini, gadis Temerloh itu boleh saja mendakwa gambar tersebut, jika tersebar, adalah hasil kreatif teknologi.
Tolol juga kerana, zaman sekarang sudah ramai orang berbogel di alam maya - ramai antaranya dengan suka rela, jadi dia tak perlu risau kerana rakan seperjuangan makin ramai dan dia tak keseorangan.

Oh, tapi mungkin juga sebenarnya dia buat laporan kerana kecewa, gambar bogelnya hanya bernilai RM400....

Sunday, April 5, 2009

Orang paling baik di Malaysia

Tanda X jika tak suka


Sekarang ini musim kita ketemu orang paling baik di Malaysia.

Apa saja masalah, semua dapat diselesai, atau paling koman, dicarikan jalan penyelesaian:
Tiada surat beranak, dibawa Jabatan Pendaftaran ke ceruk hutan.
Jalan rosak, diturap secantik-cantik jalan.
Hidup miskin, kesenangan menjengah dengan berbakul bantuan.
Sakit pening, pakar datang memberi rawatan.
Kemudahan kurang, monk check sebesar meja makan bertulis RM ribu raban disampaikan.
Bencana, sepantas kilat bantuan sudah di depan.

Demikian baiknya orang di Malaysia.


Sekarang juga musim ketemu orang paling jahat di Malaysia, atau untuk berbahasa, mungkin paling putar belit.


Tetapi ramai kita sudah celik dan sedar, dalam kalangan orang paling baik dan orang paling jahat di Malaysia ini, tidak ada kawan, tidak ada musuh yang akan kekal.
Justeru, untuk menyelongkar arkib dan menayangkan visual 14 tahun dulu memang suatu helah yang ketinggalan.

Friday, April 3, 2009

Panas dan Milo Ais


Cuaca sangat panas sekarang. Bila masuk ke dalam kereta terbiar tak sampai sejam lepas sembahyang jumaat, rasa macam dalam oven.

Memang betullah kita kena menyayangi bumi seperti yang ditunjukkan dalam Earth Hour minggu lepas. Tetapi kepanasan yang meluap-luap sekarang ni menunjukkan kita tak mampu sekadar sejam mematikan lampu.

Esok malam selepas Earth Hour TV3 ada menunjukkan satu kecederungan masyarakat Malaysia menggunakan beg plastik dalam banyak urusan jual beli. Satu tindakan yang tak akan menguntungkan bumi walau lama mana pun kita matikan lampu. Dan beg plastik tu bukan satu-satunya ancaman yang kita lakukan.

Tengah hari semalam juga aku ke kantin, sebab perut masih kenyang, aku hanya memesan milo ais. Jarang aku minum milo ais sekarang ni. Nak jaga kesihatan badan, dan kesihatan poket. Selalu waktu pagi aku memilih kopi O, alternatif yang lebih menjimatkan. Kalau makan tengahari, aku minum air kosong, alternatif yang menjaga suara...

Dari jauh aku dapat melihat gadis Indon pembantu kantin membancuh Milo yang aku pesan. Separuh gelas saja. Separuh jadi penuh bila ketul-ketul ais ditambah masuk, melengkapkan nama Milo ais yang aku pesan.

Sebagai mana pantasnya si Ade menyiapkan minuman aku tadi, maka begitu jugak lajunya aku menghabiskan isi gelas tersebut, kecuali aisnya. Petanda cuaca panas sekarang ni benar-benar menjadikan aku semacam unta pulang dari perjalanan 40 hari.

Bila Milo ais tinggal sisa, aisnya masih berketul-ketul besar tinggal dalam gelas. Maka cepat fikiran aku menganalisis, alangkah ruginya ais tersebut yang hanya berfungsi tak sampai dua minit. Apa jadi selepas tu? Tentulah dihumban ke dalam longkang atau sinki menanti hayatnya habis mengalir.

Bersempena dengan keprihatinan kita kepada bumi, maka aku terfikir lagi, berapa banyak tenaga telah dihabiskan untuk membuat ais yang diguna selama dua minit tersebut? Berapa banyak pula bahan bakar dilahap enjin lori yang menghantarnya ke kantin? Berapa banyak pula tenaga dibedal peti sejuk kantin untuk mengelak ais jadi air?
Yang pasti ia bukan sedikit.

Maka aku semalam sudahpun mendatangkan ancaman dan kemudaratan yang tidak sedikit pada bumi, yang tak berbaloi pun dengan menutup lampu selama sejam.

Mujurlah sesekali itu saja aku minum Milo Ais..

Thursday, April 2, 2009

3 April


3 April 2009


Najib Abdul Razak mengangkat sumpah
Perdana Menteri Malaysia ke-6


3 April 2009

Genap 24 tahun Kakteh kembali ke Rahmatullah