Tuesday, March 31, 2009

Letak Jawatan


Sebenarnya memang banyak modal kalau nak tulis darihal politik di Malaysia, tetapi lama aku cuba menahannya, hinggalah benteng penahan pecah dalam posting lepas.

Dan kali ni limpahan masih berlaku sebab aku nak menulis lagi kisah politik, sebab tertarik dengan penjelasan Datuk Shahris Samad di tv tadi, yang dia akan menghantar surat letak jawatan Menteri PDN & HEP esok.

Langkah beliau meletak jawatan hanya kerna gagal masuk dalam senarai pemenang AMT sesuatu yang baru aku dengar. Justeru, perasaan pelik, lucu, poyo, curiga, sinis berbaur dalam kepala aku tatkala cuba mentafsir langkah datuk berambut putih ini.

Pelik kerana belum pernah berlaku. Beliau bukan kalah pilihanraya, hanya kalah jawatan dalam parti.

Poyo kerana beliau seakan mahu menunjukkan beliau orang penting, yang dilepas pandang oleh beribu pengundi minggu lepas.

Lucu kerana beliau seakan kanak-kanak kecil menangis merajuk bila permainan idaman tak dibelikan oleh ibu bapanya.

Curiga kerana mungkin beliau dah terasa kedudukan tempat duduk dia dalam gang bas sekolah yang dipandu Najib mungkin diambil orang.

Sinis kerana beliau mungkin menyindir Ali Rustam yang tak reti melepas jawatan selepas bersalah menwangkan politiknya.


Yang mana satu betul, tak tahulah.
Ikut kata dia tadi, dia nak balik JB berkhidmat untuk para pengundinya. Dia ada banyak projek nak buat. Selepas masuk kabinet daripada rehat panjang, mungkin beliau tak dapat imbangi tugas menteri dengan tugas MPnya...


Sunday, March 29, 2009

Umpama Makan Nasi Orang

Hero

SATU

Mula-mula Pija,
lepas tu Fiq,
kemudian giliran Stacy,
dan kini, tiba Shafie Apdal dan Rosnah Shirlin.

Siapa kata orang Sabah hanya berpeluang menang pertandingan realiti TV saja?


DUA

Diberi, salah; Tak diberi, kalah.

Itu antara kata-kata Datuk Seri Najib yang paling aku ingat dalam ucapan beliau sabtu lalu. Yang lain-lain sudah kelam-kelam dalam ingatan; mungkin satu lagi yang masih agak terang adalah bagaimana dia menjelaskan semua orang-orang kanan yang naik takhta kali ini adalah orang-orang yang dah lama rapat dengan beliau. Pasukan mantap lah kali ni...

Berbalik kepada slogan yang diatas, aku harap ia bukanlah aqidah kekal orang-orang yang berkumpul di Dewan Merdeka minggu lepas. Saya tidak ada kena mengena kalaupun mereka menganutinya, tetapi sebagai orang Melayu Islam, saya percaya saudara-saudari percaya ia salah.


TIGA

Pasukan mantap diuji terus dengan trio PRK minggu depan. Tan Sri Muhyidin sudah dilantik oleh Presiden baru mengepalai kempen BN. Meski pun beban digalas oleh Tan Sri, saya percaya ramai lebih berminat menilainya dari perspektif peranan Presiden. Selepas gagal di dua PRK, ramai tertunggu-tunggu apakah impak bawaan beliau sebaik naik semata anak tangga ke puncak kuasa. Gagal ketika Timbalan Presiden, apakah beliau berjaya selepas memakai jenama "Presiden"?


EMPAT

Che Det dalam blognya mengkritik kemenangan KJ sebagai Ketua Pemuda. Normallah, sebab yang tewas anak beliau. Para 4 hingga 10 dalam blog menghuraikan perasaan sebenar beliau. Tetapi saya agak terperanjat apabila beliau hadir Sabtu lalu di PWTC dan kemudiannya menyatakan kesediaan kembali, malah bekerja sama dengan sasarannya sebelum ini demi untuk kebaikan parti. Mungkin pada masa sama, Che Det nak memberi pendidikan kepada "orang yang dikenali dan diakui umum sebagai perasuah" tersebut.




OK tak kalau aku menjadi penulis blog politik? Boleh lawan Rockybru?

Saturday, March 28, 2009

Earth Hour


Mari bergelap selama sejam!

Aku pun kabur dengan bergelap yang disebutkan. Apakah gelap total atau sekadar mematikan lampu tapi masih boleh bersuluh dengan cahaya dari kaca TV atau lilin?

atau sebenarnya Earth Hour mempromosi kegelapan total?

Secara peribadi aku lebih suka gelap yang masih diterangi cahaya TV. Maklumlah, malam masih muda, lainlah Earth Hour dipromosi pada pukul 12 tengah malam. Kebetulan malam ni takda EPL hahaha!.

Apa alternatif nak dibuat ketika gelap?
Berzikir? Bagus juga, kegelapan menambah kekhusyukan. Tapi belum tentu suasananya tenteram kerana anak jiran sebelah mungkin masih bising-bising.

Jalan-jalan keliling tanjungaru memantau kegelapan? Suatu bentuk pembaziran yang kontra dengan jiwa murni Earth Hour.

Atau pergi skodeng aktiviti-aktiviti gelap? Hmmm..mungkin malam masih muda jadi belum banyak aktiviti gelap berlangsung.

Berapa ramai orang Malaysia sanggup menyahut seruan ni?
Kempen ni tiada konsert penyanyi popular, atau band indie, apa lagi artis luar negeri. jadi aku pun tak dapat menelah persepsi rakyat jelata.
Tapi yang lebih penting, sejauh mana nilai kesedaran disebalik kempen tersebut disedari oleh masyarakat? Atau masyarakat kita akan terus gelap dan kekal bersikap "jual ikan".

Wednesday, March 25, 2009

Miskin kepada murtad


Kemiskinan boleh membawa kekufuran

Itu adalah peringatan yang pernah kita dengar. Tetapi kemiskinan yang dilalui oleh keluarga dari Kuantan ini (laporan UM harini) melangkaui batas kekufuran kerana mereka telah selangkah maju, - menuju kemurtadan.

Tak susah untuk membayangkan kesusahan mereka. Imbas semula mana-mana episod "Bersamamu" yang pernah kita tonton. Mungkin semiskin keluarga Maini Kudat di Sarawak yang berlaukkan siput babi bakar untuk isi perut. Keluarga di Kuantan ni dah tentu lebih terdesak kerana ada sembilan anak, dan hidup di bandar yang sudah tentu serba mahal. Bayangkan, mereka sudahpun dibantu dengan menerima penempatan di PPRT Bandar Baru, tetapi rumah bantuan itu pun masih belum mampu membantu mereka untuk hidup lebih selesa.

Disebalik "inovasi" natijah kemiskinan yang dipelopori mereka, ada beberapa lagi kebusukan yang mereka telah dedahkan. Pertama, kepercayaan biar miskin harta, jangan miskin anak tidak selalunya betul. Kedua, dan mungkin yang paling menekan mereka adalah kutukan masyarakat. Tak sangka pula masih ada orang di Kuantan yang minda mereka masih zaman awal merdeka dulu memandang rendah pada orang miskin.

Ketiga yang tidak kurang penting adalah MUIP sendiri. Baca saranan Timbalan Yang dipertua MUIP tersebut. "Datang ke pejabat MUIP, isi borang dan senaraikan jenis bantuan yang diperlukan dan kita akan pertimbangkan". Nampaknya MUIP sudah jadi macam para YB dalam Bersamamu, bila rakyat sudah keluar TV, baru mereka muncul menawarkan seribu satu bantuan. Mereka tak mahu meninggalkan hawa dingin pejabat mereka untuk mencari rakyat dalam kesusahan. Mungkin mereka perlu menyelidik dan menginsafi, kenapa pasangan tersebut lebih nampak kepada paderi daripada anak tangga pejabat MUIP.

Surat khabar hari ini juga mendedahkan Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO telah berjaya menyelesaikan 120 kes penderitaan masyarakat. Rupanya, selain daripada membawak balik anak-anak perempuan Melayu yang merempat di negara asal suaminya, Datuk Abdul Azeez telah berjaya dalam banyak misi lain. Mungkin berkat terjun di kutub dulu bersama dengan mat rempit, Datuk Azeez telah dikurniakan akal dan ikhtiar yang panjang. Hanya mat rempit saja yang tak terkesan dengan terjunan di kutub tu.

Tapi sayang, Datuk Azeez tidak lebih awal menemui masalah keluaraga sebelas beranak di Kuantan ini. Jika tidak tentu keluarga tersebut tak akan sempat membuat surat akuan untuk keluar Islam.



Tuesday, March 24, 2009

Arab

Sinbad (kiri) bersama rakannya, Abu Nawas



Dalam berita TV3 semalam, Melaka akan membina Bandaraya Arab di bumi Hang Tuah tersebut. Tujuannya adalah untuk menarik pelancong Arab datang ke Melaka.

Menurut jurucakap pemaju projek, yang aku rasa adalah seorang Arab, orang Arab sangat cerewet kalau melancong, mereka mahukan suasana yang sama macam tanah air mereka apakala melancong. Ia termasuklah premis makanan dan berhibur serta membeli belah.

Secara peribadi, aku tak mahulah nak terus memanggil mereka tolol, walaupun mungkin ia gelaran yang sangat tepat untuk menggambarkan sikap sedemikian. Logik yang mudah sahaja; Kalau nak suasana serupa kampung halaman mereka, maka aku rasa baik duduk di negara sendiri. Apa guna nak melancong ke luar kalau mahukan suasana serupa halaman mereka?

Akan tetapi, bila dilihat projek tersebut bakal dibina di Melaka, maka tolol tersebut mungkin juga perlu dikongsikan untuk orang-orang berkenaan di bumi Hang Tuah tersebut. Mengapa tidak? Bukankah mereka juga yang men"datok"kan Shah Rukh Khan tak berapa lama dulu kerana sebab yang sama naifnya sepertimana mewajarkan Arab City di atas?
Tapi untuk berlaku adil, kita juga jangan lupa beberapa bahagian Bukit Bintang dah lama diArabkan. Jadi tak peliklah kalau penyakit bebal tersebut menular ke selatan.


Orang Asia Barat patut belajar dengan orang Asia Timur yang datang ke Malaysia. Kaum-kaum Asia Timur tersebut, yang gadis cilik terutamanya bukan saja tidak cerewet, malah bijak mengambil peluang sebaiknya menikamti kunjungan mereka ke Malaysia ni. Tak percaya, cubalah sekali-sekala tonton 999.

Sunday, March 22, 2009

Masa


Lain jam, sama waktu


"Bertangguh itu pencuri masa"

itu pepatah orang lama, dan pasti sudah sangat lama sejak kali pertama kita mendengarnya.
Ia pepatah yang lazim, ibaratnya kalau budak-budak menyelitkannya dalam karangan SPM mereka, ia tidaklah memberi nilai tambah yang BEDEBUMM... kepada karangannya.
(contoh pepatah yang BEDEBUMMM kena rujuk pada karam Singh Walia)

"kerja akan berkembang mengikut masa yang diperuntukkan"

Ini aku tak pasti, kategori pepatah atau tak patah. Besar mungkinnya ia aku jumpa antara baris-baris pesan bijak pandai yang kadang-kadang aku lintasi di mayapada siber. Penjelasannya adalah, meski kerja itu sangat sedikit hatta mampu diselesai dalam masa seminit; kalaulah kita memperuntukkan masa sejam untuk menyudahkanya, nescaya selepas sejam lah kerja itu siap.
Kenapa? Rujuk semula pepatah orang lama di atas.

Sesungguhnya dua ayat di atas sangat tinggi nilai kebenarannya. Aku tak akan pertikai.
Kerana aku telah melakukannya!



Aku : Tolonggggg!!! Kerja masih bertimbun, laptop dah lemas dijerut virus!!!

Aku (lagi): Tiga perkataan untuk meredakannya - Padan Muka Aku!

Saturday, March 21, 2009

Virus


Entah yang mana satu dosa aku hingga virus menyusup masuk ke dalam laptop, dan beberapa jam tadi menyekat akses aku ke blog ni.

tapi dengan pelan kecemasan yang sebenarnya tak berpelan, disahut dupdap dupdap kalut dalam perasaan aku, maka berjaya juga aku menanganinya..kalaulah ia bolehlah dikatakan berjaya.

Jangan terperanjat kalau tiba-tiba terus senyap, kelemasan dijerut oleh virus.

Wednesday, March 18, 2009

menipu


Hari ni aku menipu orang. Bukan seorang, tapi dua orang. Seorang pagi, seorang petang.

Macam mana aku boleh tergamak menipu orang baik lurus bendul?

Adakah mereka akan memaafkan aku?

Macam mana aku nak mintak maaf sedangkan aku pun dah tak dapat nk kontek mereka?

Sebaik petang tadi aku tersedar yang aku telah berlaku zalim, terus aku berhentikan kereta dan duduk di bangku hujung dataran, mengharapkan dia akan call aku balik, dan memberi peluang aku mintak maaf. Tapi peluang tu tak muncul.

Macam mana aku nak menebus dosa ni?

Tuesday, March 17, 2009

Pertandingan

Kalah tanpa bertanding.


Berita siang tadi menunjukkan Qatar telah menghantar bidaan rasmi dalam persaingan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022. Kedudukan kewangan yang baik untuk menyediakan infrastruktur dan zon masa yang tak jauh beza dengan Eropah adalah kekuatan Qatar. Maklumlah, negara kaya yang walaupun sinonim dengan padang pasir berhaba tinggi, tak mustahil Qatar boleh menyediakan semua stadium tertutup macam yang ada di Sapporo ketika World Cup 2002.

Tawaran Qatar menjadikan ada dua belas bidaan telah menyertai persaingan tersebut. Lapan negara yang lebih awal adalah England, 2B (Belgium & Belanda), Australia, Mexico, Spain, Portugal, USA, dan Russia. Sementara Indonesia, Jepun dan Korea Selatan adalah tiga wakil dari Asia.

Ya, Indoensia pun bernafsu untuk menjadi tuan rumah World Cup. Kenapa Malaysia tak ada nafsu sedemikian besar? Aku pun tak tau kenapa.
Satu masa dulu, Malaysia memang serakah untuk jadi tuan rumah macam-macam acara bertaraf dunia, tapi kini nafsu tersebut mungkin dah diancam menopous.

Perkiraan aku, Malaysia perlu menyertai persaingan tersebut. Persetankan dengan taraf bola sepak Malaysia sekarang. Lagipun kita masih bertaraf dunia sebab ramai pengikut bol asepak Malaysia cukup kenal dengan BPL, La Liga, Seria A hatta pertandingan di Amerika Latin yang sebelum ni tak diketahui pun sudah ada dalam senarai tontonan orang Malaysia.

Menjadi tuan rumah adalah cara terbaik untukbermain di World Cup. Tempoh pertandingan ada lagi 10 ke 14 tahun cukup lama. Dalam tempoh itu, penyakit2 (atau orang-orang pembawa enyakit) bertapuk dalam FAM tentu dapat disingkirkan.
Tapi kalau pun kita tak bertaring ketika itu, menjadi tuan rumah terbaik sudah tentu satu kemenangan. Bukankah kita memang suka dengan pujian-pujian macam tu?

Apa-apa pun selamat bertanding kepada Qatar. Dan kepada yang bertanding dalam masa terdekat ni, pun selamat bertanding. Bezanya, aku tak ambik pusing pun siapa menang siapa kecundang yang terdekat ni. Relevan lagikah?

Monday, March 16, 2009

Hari ini saya

Hari ini saya ke TMPoint yang serba baru dan moden. Kakitangannya nampak segak bergaya dengan jaket warna koko, menjelaskan lagi imej korporot GLC ini.
Sayang, tak ramai pelanggan.



Hari ini saya pergi ke pejabat kastam. Kunjungan pertama ke sana, ke bangunan warna warni ala tadika. Hiasan dalaman nya juga nampak ceria. Ketika mengadap pegawai wanita di tingkat dua tu, saya sempat memanjangkan leher memandang ke sebelah kanannya, yang sudah sedikit terlindung dek kubikelnya. Saya menghulur leher kerana terdengar bunyi-bunyi sedang saya tidak perasankan ada orang lain ketika itu. Rupanya memang ada. Seorang pegawai wanita lain, sedang menatap monitor, berYM.



Hari ini saya pergi ke pasar. Bau pasar tersebut masih tak berubah sejak kunjungan kali akhir lama dulu. Bau ikan lah, takkan bau kambing. Bila berjalan ke kereta, sempat memandang dari jauh dua orang lelaki sedang menimbang ikan di atas jeti. Bukan sebarang ikan, tapi ikan jerung yang sudah pun dikerat-kerat. Beratnya boleh tahan melihatkan dua lelaki tersebut sedikit goyang-goyang bila memikul ikan yang sudah dicangkuk ke penimbang. Siapa yang makan ikan jerung di tanjungaru ni? Entah.

Jadi, apa yang saya dapat hari ini?

pertama - TMPoint tak relevan bagi saya kerana saya menguruskan bil melalui Maybank2u.
kedua - saya kena mengusahakan sekitar RM10k menjelang hujung tahun ini.
ketiga- ikan jerung tanjungaru tak makan orang, sebab orang lebih dulu makan ikan jerung.

Sunday, March 15, 2009

Kalau kita


Kalau kita selalu mengunjungi surau-surau di tempat awam, aku pasti kita akan pernah berpengalaman menghidu bau hapak pada karpet atau setidak-tidaknya, sejadah di surau tersebut.

Pengalaman aku misalnya di KLIA, sejadahnya kebanyakan bau hapak. Yang di LCC pun senasib. Paling ngeri adalah di surau Terminal 1, bukan terminal airport, tapi stesen bas Seremban. Berdiri saja di muka pintunya, MasyaAllah, busuk yg amat. Amat pun tak sebusuk itu.

Pada pandangan aku, bau tu datang dari kebasahan yang dibawa daripada wudhuk lalu meresap ke dalam karpet dan sejadah. Sebab ia tebal, maka lambatlah ia kering lalu membusuk menerobos lobang hidung. Tak percaya, bandingkanlah dengan stokin yang kita sarung. Cuma stokin lebih bernasib baik sebab ia tak setebal mana, dan kerap disenggara berbanding sejadah dan karpet surau.

Teori punca kebusukan ini aku sokong lagi dengan surau di airport Tanjungaru ni. Surau tersebut tak berkapet. Yang ada lantai sejuk. Jadi bau yang mengganggu tersebut tak wujud. Tapi mungkin juga kerana surau tersebut jarang digunakan. Sebab surau tu di aras arrival, departure hall ada surau lain, dan kebanyakan petugas situ mungkin selesa balik rumah menunaikan kewajipan.

Siapa ada idea nak menangkis bau busuk bertapuk di tempat mulia seperti itu?
Jangan letak karpet?
Atau pengunjung bertayamum saja?
Mungkin kita boleh letak alat pengering elektrik yang macam vakum cleaner bunyinya tu, untuk mengeringkan kaki. Kenapa tidak?




Semalam ke pasar peladang dengan keazaman tinggi nak beli honey dew.
Bila sampai depan gerai, tuan punya gerai tu melayan pelanggan lain, dan aku memandang dia beberapa lama, dia macam tak layan.

Jadi aku pun cuba skil yang tak seberapa membelek-belek buah yang ada, cium-cium cuba mengesan baunya. Ada sebiji lalu bawak kepada tuan gerai, tapi belum sempat aku menghulur buah kepada dia, dia cepat membagitau buah tu belum masak. Aiseh..nampaknya ilmu aku belum cukup rupanya.

Aku cuba-cuba tunjuk pandai, kata dah ada bau wanginya masuk ke lubang hidung aku tadi, tapi dia tetap dengan keputusannya kata belum masak - masih keras melainkan untuk dibuat jus.

Aku yang sudah kemalu-maluan buat-buat tanya lagi, takda ke yang masak. Tapi dia bagitau mungkin malam ni baru stok baru sampai.

Sebaik mau melangkah, aku tunjuk pula pada buah lonjong kombinasi kaler hijau muda dan tua sebelahnya. "Yang ni takda yang masak" aku tanya lagi.
"Tu sayur" kata perempuan tadi.
Cepat-cepat aku blah, sebab jurujual sebelah dah gelak besar kat aku...siot!

Friday, March 13, 2009

Peristiwa penting malam ni

Malam ni ada peristiwa penting.
Pastikan anda berada di depan kaca TV seawal jam 8 malam.

No, aku tak bercakap hal AF.
Sebab aku dah tak terlalu muda untuk ikuti AF. Ada la tengok sekali, diari AF yang pertama haritu, teruja nak tau siapa pengetuanya. Dan setakat itu saja.

Tapi yang lebih penting malam ini ialah LIVE from ....

OLD TRAFFORD!!


Liverpool tengah high ekoran kejayaan mengatok Real di Anfield awal pagi Rabu waktu Malaysia yang lepas. Walau bagaimana pun, Jim White masih tidak ada keyakinan penuh untuk anak-anak buah Rafa melakukannya sekali lagi, meskipun kedua-dua key player Liverpool akan berada di atas padang malam ni.

As for the home team pulak, dorang pun dalam top form . Kelebihan paling utama, mereka mempunyai seleksi pemain yang besar. Ada ramai yang boleh diturunkan malam ni dan lebih penting, ada ramai yang berkebolehan menjaringkan gol berbanding pasukan merah yang satu lagi.

Pendapat persendirian aku, meskipun Liverpool mengulangi magic nya malam ini, peluang tetap sukar untuk mereka menjejaki kejuaraan. MU masih lagi favourite kerana perbezaan mata antara mereka masih selesa, malah kekal favourite sekali pun Guus Hiddink terus dapat menajamkan kuku Chelsea.


Berbalik pada isu AF di atas, ada aku baca dalam forum berkenaan AF minggu lepas, tajuknya pasal Ratu Kemban. Aku tak ambik pusing pun, tapi bila aku tngk Diari Isnin lepas, baru aku perasan, Ratu Kemban tu merujuk pada pengetua baru musim ni. Aku tak dapat nak menahan gelak. Tambah-tambah bila aku selak-selak forum tu, ada pulak yang buat kelakar, AF kali ni mentransformasi semua peserta nya berkemban sebaik habis musim.

Ada juga logiknya tu, tambahan pulak Ida Nerina pun salah seorang dalam team kali ni.
Dia pun memang lazim dengan kembannya di khalayak ramai.



Surat khabar semalam mendedahkan ada lebih sepuluh ribu calun SPM 2008 dapat A dalam semua mata pelajaran. Aku ternganga. Tak tahu nak bertepuk suka, atau terdiam tertanya-tanya.

Apa, senang sangatkah SPM sekarang ni? Atau semua budak-budak dah semakin pandai?

Bila aku congak-congak, kemana hala mereka selepas SPM ni? Apakah ada tempat yang cukup untuk 10k tu?
Then, kalau ada cukup tempat, bagai mana pula yang hanya 9A? 8A?
Ke mana pula hala tujuan mereka?
Sangat besar cabaran kepada kementerian kali ini.

Bila semakin mudah untuk pelajar dapat semua A, maka barulah aku nampak ada wajarnya pelajar mengambil sehingga 20 mata pelajaran dalam SPM. Hanya dengan cara itu mereka boleh membuktikan mereka ada keluarbiasaan berbanding orang lain.

Zaman betul-betul dah berubah. Dulu, orang yang dapat 6 aggregat dalam SPM tak ramai. Yang berjaya melakukannya sudah tentu lama kembang hidung. Apatah lagi beberapa yang skor A1 dalam semua subjek.

Tetapi kini, skor 1A dalam semua subjek tak sebesar mana lagi glamer dan luarbiasanya Sebab itulah ada yang membuat keputusan nekad mengambil sebanyak mungkin subjek.


Walau bagaimana pun, untuk adik Nik Nur Madihah, aku percaya dia melakukannya bukan untuk glamer. Latar belakangnya, dan selepas aku membaca dan melihat gambar rumahnya di Utusan hari ini, dia memang seorang yang istimewa.

p/s post aku berkait SPM ni tidak ada niat untuk memperkecil sesiapa. Harap maklum.


Tazkirah Jumaat

Sempena hari Jumaat ini, maka marilah kita bersama-sama saling mengingati sesama kita tentang kematian.


Tetapi kali ini kita lakukan dengan cara yang sedikit lain..









Monday, March 9, 2009

aku suka



Aku suka tengok kapal terbang, terutama bila ia meluncur di udara.

Tapi sebab Tanjungaru ni hampir dengan laluan turun naik kapal terbang, maka ia sudah menjadi perkara biasa dan tidaklah aku teruja sangat. Tambah-tambah di sini tak banyak flight yang ada, MAS pun sekadar Boeing 737 saja.


Hari ni aku dah beli tiket balik kampung untuk raya puasa september nanti. Punya lah awal. Teruja sebab kawan aku call bagitau tiket MAS ada yang murah beberapa hari sebelum raya. Jadi aku pun ikut teruja lalu menterjemahkannya dengan menekan-nekan keyboard ke laman sesawang Penerbangan Malaysia. Sempat aku buat perbandingan kilat dengan Airasia untuk tarikh yang sama. Sah! MAS lebih murah dari Airasia. Sekali lagi aku bertindak kilat menaip butir diri dalam pautan tempahan. Natijahnya, aku kini berhutang RM340 dengan bank.

Walaupun belum ada kepastian tarikh cuti sebenar untuk perayaan, tapi aku jadi ahli nujum, membaca fikiran bos aku ketika hampir raya tersebut, meramal berapa hari cuti yang bakal diberi. Hasilnya, aku beli tiket semula balik ke Tanjungaru, seminggu kemudiannya.

Tindakan nekad terpaksa aku buat sebab jumlah penerbangan ke Tanjungaru dah makin terhad. Airasia sekarang dah pun menamatkan penerbangan keduanya ke sini. Ada pula khabar angin, akan tinggal hanya satu penerbangan terus dari sini ke KUL dalam sedikit masa lagi.

Ironinya, airport di sini baru saja siap diperbesarkan. Kerja memanjangkan landasan dah masuk fasa terakhir. Tapi, MAS dan Airasia macam tak tertarik dengan naik taraf tu.

jadi, apa pengajarannya?
- tak ada apa yang menarik di tanah Tanjungaru ni...




Sempena Maulirurasul ini, aku senaraikan 4 tanda kita mencitai Rasulullah, seperti yang disebut Ust, Ansarullah sabtu lepas

1. mentauhidkan ALLAh
2. membaca dan mengamalkan Al-Quran
3. mengamalkan sunnah baginda
4. mempertahan dan membela sunnah baginda

Saturday, March 7, 2009

Perhimpunan/rusuhan

perhimpunan aman layang-layang



Saya mengikuti dengan penuh minat isu PPSMI yang menjadi berita utama beberapa minggu kebelakangan ini.

Seperti dirancang, kemuncaknya adalah penyerahan memorandum kepada YDP Agong, semalam.

Akan tetapi, seperti mana perhimpunan-perhimpunan lain yang pernah diadakan, iaitu yang dianjurkan oleh pihak yang tidak sebulu dengan pemerintah, perhimpunan semalam telah dituruti dengan "rusuhan".

Menurut sesetengah orang, ia bukan rusuhan, tetapi nampak macam rusuhan kerana orang bertempiaran, kacau bilau kerana mengelak gas pemedih mata yang ditembak ke arah mereka.

Dah tentulah, bila 5000 orang (kata utusan malaysia, 100,000 kata media lain) bertempiaran lari, suasana mesti nampak kacau. Lalu lintas menjadi korban terawalnya.

Tak mustahil, hari ini dalam Berita TV, para peniaga akan mengadu, perniagaan mereka terjejas gara-gara rusuhan itu. Kemudian ada pula menempelak, tindakan itu akan membuat pelancong asing takut datang Malaysia. Dan komen ini akan berjela tanpa henti.

Pada hemat saya, kesilapan besar aktiviti semalam, yang dianjurkan gerakan yang dikepalai pencinta bahasa ini adalah, membawa masuk ahli politik dalam perhimpunan semalam.
Bila sudah masuk ahli politik, tak susah untuk meramal apa babak seterusnya dalam hal-hal perhimpunan besar sebegini walau seaman mana pun nawaitu asal perhimpunan tersebut. Saya kira, rakyat Malaysia semuanya maklum.

Ada satu lagi kemusykilan saya iaitu, pernah seorang pegawai tinggi Kementerian mengulas di kaca TV, isu PPSMI ini kini hanya tinggal pihak menteri untuk membuat keputusan. Segala macam persidangan telah dibuat, dibincang, dibahas, dipertimbang - dan kini hanya tunggu masa calon NP UMNO tersebut untuk membuat keputusan. Tapi saya hairan, bila lagi pak menteri itu nak membuat keputusan?
Khuatir, kalau ditunggu lama-lama, keputusan akan jadi busuk dan basi, lalu layak dihumban ke longkang saja.







cukup-cukuplah dengan kontroversi.
Ni ada lawak untuk difikirkan..



Kalau anda fikir anda masih islam...bacalah Kalau anda pikir anda masih islam bacalah...kalau tidak......Allah saja yang tahu...

Message: Tolonglah ambil masa 2 minit untuk membaca ini.... kalau lebih dua minit tu bukan membaca la tu..tapi mengeja.. ;-)

Dengan Nama ALLAH yg Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...

Bayangkan benda ini berlaku pada anda..... Suatu hari pada masa Sembahyang jumaat yang di hadiri oleh lebih kurang 1,000 jemaah...tiba- tiba masuk dua orang lelaki yang menutupi seluruh tubuhnyer dgn pakaian hitam.. tak nampak apa cuma dua biji mata and membawa mesin gun... lalu salah seorang lelaki tu bertempik " "Sesiapa yang sanggup MATI kerana ALLAH sila berdiri di tempat kamu" Selepas mendengar amaran lelaki itu maka segeralah bertempiaran lari para jemaah itu utk menyelamatkan diri.... daripada jumlah yang 1,000 tadi tu hanya tinggal lebih kurang 20 orang sahaja yang masih berdiri di tempat masing-masing termasuk Pak Iman tu... Lelaki yang bertempik tadi segera membuka tutup mukanya lalu melihat ke arah Pak Imam sambil berkata: "Ok Pak Iman, saya dah halau SEMUA yang hipokrit, sekarang bolehlah Pak Iman mulakan sembahyang Jumaat".... Lalu kedua lelaki tersebut berpaling dan meninggalkan jemaah.... Macammana.. adakah anda rasa lawak dgn cerita di atas. selain terhibur anda fikirlahlah. ..

" Lawak kan , dari 1,000 org yg mengaku dia Islam hanya 20 yg betul-betul beriman... "

" Lawakkan berapa banyak manusia yang mudah lupakan ALLAH bila menghadapi bahaya... kedua lelaki hanya membawa mesin-gun.. dia tak kata pun nak bunuh.. tapi generasi skrang.. amat lemah.. baru kena ugut terus lari lintang pukang.. lupa yg dia tak sembahyang jumaat lagi..."

"Lawak, ada juga yang agamanya cuma seminggu sahaja..tu pun bila time sembahyang jumaat.. tunjuk muka kat org kampung.. ada tu lagi dashyat setahun 2 kali aje.. bile time sembahyang raya..."

"Lawakkan, ramai orang percaya kepada gosip dan apa yang di tulis oleh surat khabar daripada apa yang tercatit dsalam al Quran"

"Lawak kan , berapa ramai yg percaya dunia hanya sementara, akhirat adalah tempat yang kekal, tapi berlumba-lumba mengejar dunia"

"Lawak, kita boleh bersembang dgn boyfriend atau girlfriend berejam-rejam tapi nak berdoa kepada ALLAh alahai.. tak cukup masa..

Thursday, March 5, 2009

Tazkirah Jumaat


Teladan Untuk Suami Isteri Yang Selalu Bergaduh

Sepasang suami isteri yang sudah menikah selama 7 tahun dan memiliki 3 orang anak, terlibat dalam sebuah pertengkaran hebat.
Begitu hebatnya pertengkaran mereka, sampai akhirnya mereka
memutuskan untuk bercerai, mengakhiri kehidupan rumah tangga
mereka secepat mungkin.

Mereka menemui seorang peguam, untuk melangsungkan perundingan pembahagian harta sepencarian di antara mereka, perundingan berlangsung lancar dan akhirnya sebahagian besar masalah dapat diselesaikan, baik tanah, rumah, dan semua aset .

Harta mereka dapat dibahagi dan mencapai kepuasan kedua
belah pihak. Hanya satu hal tidak ditemukan jalan keluarnya,
yaitu mengenai pembahagian anak [jangan lupa anak mereka
tiga orang].

Baik si suami maupun si isteri, sama sama ingin mengasuh 2 anak, tidak ada yang mau mengalah, dan anak tidak mungkin dibelah dua seperti pada Zaman Nabi Sulaiman a.s. dulu.

Akhirnya mereka menemui seorang tokoh agama, meminta nasihat bagaimana jalan keluar yang harus ditempuh.

Sang Imam akhirnya memberikan jalan keluar yang bijak, iaitu mereka diminta menunda perceraiannya selama satu tahun, mereka harus menambah satu orang anak selama satu tahun, bila Tuhan mengizinkan perceraian mereka, Tuhan akan memberikan
tambahan satu anak, jumlahnya menjadi 4 anak, sehingga mudah
untuk dibahagi di antara mereka berdua.

Kerana si suami dan si isteri sangat serius untuk bercerai, mereka
mengambil keputusan berusaha keras untuk menambah anak, dan
akhirnya mereka berhasil.

Setahun kemudian, ketika Sang Imam berjalan jalan, beliau bertemu
dengan pasangan suami isteri ini, sedang bergandingan tangan
dengan mesra, sehingga Sang Imam bertanya, :
"Apakah kalian tidak berhasil menambah anak sehingga kalian batal
bercerai?".

Sang Suami lalu menjawab : "Tuhan maha pengasih, Dia memberikan kami tambahan anak, tapi sekaligus juga memberikan isyarat agar kami saling memaafkan dan saling mengasihi, kami memutuskan untuk tidak bercerai".

"Bagaimana Tuhan memberikan isyaratNya?" , tanya Sang Imam.
"Tuhan memberikan kami tambahan anak, bukan satu anak, tapi dua anak, anak kembar!!".


Beberapa hikmah:
1. Menunda tindakan negatif sering bermanfaat, apalagi ketika seseorang sedang dikuasai emosi.

2. Mampu mengendalikan marah [emosi] adalah kunci kebaikan.

Wednesday, March 4, 2009

Kad kredit, insuran, periuk, madu lebah..

Tiba-tiba saja Saiful muncul di kaca TV semalam.
Sama lah macam agen insuran dan kad kredit..


Ada satu lagi kekurangan diri aku iaitu kurang pandai untuk berkata TIDAK kepada jurujual yang tetiba terpacul di tempat kerja aku. Yang paling biasa adalah agen kad kredit dan insuran. Awal tahun lalu ada seorang pakcik menjual madu lebah.... Beberapa minggu lepas entah macam mana, boleh pula jurujual periuk menyelinap masuk. Siap buat demo. Merasa jugak makan apam yang dibuat dengan periuk magic tu.

Tapi yang paling aku tensen adalah agen kad kredit. Mula-mula dulu aku memang tak tahu nak kata tidak. Aku tak tahu di mana nak memintas percakapan dorang yang tak ada brek. Sometimes, in between, aku sempat plak berfikir, kalau aku tiba-tiba kata NO, kesian pula sama diorang yang dah bercakap berpuluh-puluh patah perkataan, tambah lagi ada yang datang dari seberang.

Kalau yang melalui telefon lagilah. Sebenarnya aku baru terima satu call tadi mempromosi insuran kemalangan. Time aku tengah bercakap pun, dia tetap terus bercakap sampai aku tak dapat tangkap buah butirnya. Tapi mujurlah perempuan tadi, Farah namanya, faham dan dapat terima yang aku kini sedang di ambang zaman penjimatan. Sory Farah, aku takda duit extra nak invest ke insuran ko..

Tapi situasi mutakhir pun, aku dah mula mengamalkan strategi menolak dari awal bila orang-orang mcm ni approach. Aku bagitau, aku dah ada banyak kad kredit. Kawan aku pulak, dia sebut direct, "saya guna kad Bank Islam saja". Selalunya agen tu terpaksa blah dengan muka kelat bila kena sound macam tu sampai aku pun kadang-kadang kesian...(baiknya aku ni...). Tapi sebaik-baik aku pun, aku dah tak sanggup jadi mangsa lagi. So aku pun terpaksa pasang perisai kebal cap gadjah untuk menahan asakan dari pemberontak dan militan.

Sebab aku jadi pernah jadi mangsa kerana, pernah ada free agent datang promosi kad kredit. Oleh sebab dia kata kalau kad tu tak diguna enam bulan, ia akan automatically kensel, maka aku pun terima tanpa syak wasangka. Memang, dalam beberapa bulan pertama aku telah terima penyata. Beberapa kali lepas tu, penyata tak ada lagi aku terima. Maka aku dengan yakin menyimpulkan kad tu dah automatik terkensel.

Tup-tup hujung tahun lepas aku terima penyata lagi, kali ni charge annual fee. Siot! Kata terminate automatically, awat buleh charge annual fee?

Aku pun ke cawangan terdekat. Nyonya rambut perang-perang di kaunter menafikan ada pernah wujud tawaran semacam itu. Aku menyumpah-nyumpah dalam hati. Tapi, stil tak mampu nak bagitau kat nyonya tu yang aku nak terminate, tambah-tambah dia berguling-guling suruh aku jangan terminate, rugi reward point, sebab point tu tak expired" kata dia. Walhal, aku mana ada point pun lagi sebab belum pernah guna?

Monday, March 2, 2009

Honda lancar MPV gugat Proton

Saksikan sendiri kelainan MPV Supernova dari Honda.

SILA BUAT TEMPAHAN SEKARANG SEHINGGA JUN 2009, PELANGGAN AKAN DAPAT HADIAH PERCUMA TV PLASMA 42’' BAGI SETIAP TEMPAHAN.

Baru-baru ini Honda sekali lagi membuat kejutan dengan

pengeluaran MPV terbaru syarikat mereka. MPV yang dinamakan Supernova ini dijangka menjadi pesaing hangat buat Proton kerana harga jualan yang jauh lebih murah iaitu hanya RM 56,000 dengan jumlah muatan seramai 12 orang atau lebih…


















Sunday, March 1, 2009

Jemputan

Benjamin - anak bongsu Sandra.
DOB 31.1.09 - 2 bulan awal dari tarikhnya



4.30 tadi tiba-tiba aku terima sms

"Hi, nak download Video Clips yg terperanjat saya? Taip ON AIMI Hantar ke 37733. Semua pnftran FREE, Syok! Cepat download skrang. Minta hebohkan.
sender : 0133195162


Ini kali ke dua aku terima sms seumpamanya. Yang pertama 22hb lepas

"Jikalau anda boleh tahan nikmat Video Aksi Hebatku, Sila tulis ON GAL dan Htr ke 32338. Lebih 100 Koleksi Video Klip Hebat Menunggu Anda. Pdftran FREE"
sender: 0134412997

Siot betul orang yang hantar sms. Tidakkah diorang tahu aku ni orang baik-baik, tinggi budi pekerti?

Adakah dorang menghantar sms tersebut kepada nombor-nombor secara rawak?
bayangkanlah kalau sms sedemikian rupa diterima oleh budak-budak. Yang hebat tu, sms yang petang tadi siap minta hebahkan, macam sms minta mendoakan penduduk Gaza waktu krisis dulu!

Yang prihatin, sila sms kepada nombor di atas. Err..maksud aku nombor 013 tu, bukan yang lima digit. Kalo nak berhemah, beri kata dua seperti paklah menasihatkan pendemo jalanan. Tapi rasa aku yang lebih sesuai adalah bagi sumpah seranah seperti dalam ceramah politik...


Satu lagi benda yang menimbulkan kemusykilan aku adalah surat yang sampai ke alamat kediaman aku. Bukan sekali, tapi dah banyak kali. Sekarang ni, kalau surat sedemikian sampai, aku dah tak bukak. Yang ajaibnya, dari mana dia dapat alamat? Aku tak pernah guna alamat rumah untuk surat-menyurat. Semua ke tempat kerja. Tapi surat dari Penang tu dapat mengesan kediaman aku.

Isinya sekeping risalah nipis mempromosi khidmat tok guru yang boleh membawa "ong" kepada orang ramai. Bukan tok guru madrasah, atau tok guru sekolah agama, tapi tok guru sami Buddha di sebuah wat di pantai timur.

Sama macam iklan minuman penambah tenaga batin, ada juga pengakuan orang yang pernah menerima bantuan tok guru. Dulu bisnes mereka tak menjadi, hidup susah. Tapi "berkat" bantuan tok guru, nombor ekor mereka beli mengena. Wah..bertambah rezeki. Dan mereka benar bersyukur, sebab sebahagian kemenangan tu disumbang ke wat.
Amal jariah lah konon..